Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Umatku akan berpecah hingga menjadi tujuh puluh tiga (73) puak, hanya
satu puak yang terselamat, manakala yang lain semuanya binasa.” Sewaktu
ditanya: "Siapakah yang terselamat itu?" Baginda menjawab,
"Itulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah." Ditanya lagi, "Apakah Ahlus
Sunnah Wal Jamaah itu?" Baginda bersabda, "Perjalananku hari ini dan
para sahabatku.”
Kita sebagai orang awam tertanya-tanya siapakah
72 puak yang tersesat itu. Adakah kita termasuk di dalam salah satu puak yang
tersesat itu? Untuk lebih berwaspada supaya kita tidak termasuk di dalam
puak-puak yang tersesat itu, di sini dibentangkan serba ringkas antara
puak-puak yang tersesat tersebut, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh
Daud Al-Fatani dalam kitabnya Manhalush Shafi, antaranya:
Puak-puak yang Tersesat dalam Bab Syariat
Puak-puak yang tersesat dalam bab Syariat ini
ialah golongan yang menambah-nambah atau mengurangkan sesuatu perkara dalam bab
ibadat dan hukum-hakam, tanpa mempunyai sandaran dan asal usul yang jelas dalam
al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w ataupun daripada perbuatan sahabat-sahabat
Nabi yang muktabar, sama ada perbuatan itu wajib, haram, sunat, makruh ataupun
harus. Kemudian perbuatan dan amalan tersebut diamalkan pada diri, keluarga dan
masyarakat. Perkara dan amalan tersebut dikenali dengan istilah syarak sebagai
Bidaah Dholalah yang Karohah dan Bidaah Dholalah yang Haram, yang mesti dijauhi
oleh setiap orang Islam.
Puak-Puak yang Teresat dalam Bab Akidah
Terdapat 72 puak yang tersesat dalam bab Akidah
ini, kerana pegangan dan kepercayaan mereka terang-terangan bercanggah dengan
pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta apa yang telah dibawa oleh Rasulullah
s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Antara kumpulan-kumpulan tersebut ialah:
1. Kaum Rafidhiyah - 12 puak
Kesesatan puak-puak ini dalam bab Akidah berlaku
kerana pegangan dan kepercayaan mereka jelas bercanggah sama sekali dengan
pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka masih mengaku bahawa mereka
terdiri daripada orang-orang Islam. Antara pegangan mereka ialah:
i. Mereka beriktikad bahawa Saidina Ali k.w.h
akan turun dari langit pada suatu hari nanti dengan rupa awan ketuhanan lalu
berupa dengan seorang manusia, maka beliau akan melakukan beberapa pekerjaan
yang disejajarkan kepada sifat ketuhanan. Setelah itu beliau akan naik semula
ke langit.
ii. Mereka juga berpegang bahawa Malaikat
Jibrail telah tersalah memberi wahyu kepada Nabi Muhammad, sedangkan sebenarnya
wahyu tersebut adalah untuk Saidina Ali k.w.h.
iii. Mereka juga percaya bahawa Nabi Muhammad
s.a.w dan Saidina Ali k.w.h bekerjasama dalam melakukan pekerjaan kenabian.
iv. Mereka juga mendakwa bahawa jawatan khalifah
itu hanyalah khusus kepada Saidina Ali k.w.h sahaja. Oleh itu Saidina Abu
Bakar, Saidina Umar dan Saidina Usman sentiasa berada dalam keadaan kafir
kerana menerima dan menjawat jawatan Khalifah Rasulullah s.a.w. Mereka juga
mengeji dan menyumpah sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w dan
sahabat-sahabat lain yang tidak seketurunan atau sebangsa dengan Saidina Ali
k.w.h.
v. Mereka percaya bahawa apabila telah keluar
roh daripada seseorang anak Adam (mati), maka roh orang yang mati itu akan
masuk pula ke dalam jasad orang lain dengan nama dan rupa yang lain atau
serupa.
vi. Mereka juga mendakwa bahawa Saidina Ali
k.w.h juga akan kembali hidup semula di akhir zaman sebelum berlakunya hari
Kiamat. Beliau akan datang dan menghukum semua musuh-musuhnya, tempat beliau
sekarang ialah di awan. Bunyi guruh dan kilat itu adalah suara cemeti Saidina Ali
k.w.h.
vii. Mereka percaya bahawa kadang-kadang zat
Allah akan zahir dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu dinamakan zat
tersebut sebagai Nabi atau Imam, lalu mengajak manusia kepada agama Islam yang
lurus. Jika zat Allah tidak zahir secara demikian sudah tentulah semua manusia
akan tersesat. Mereka juga percaya bahawa zat Allah itu boleh menjelma dan
masuk ke dalam sesuatu lalu sebati dengan benda tersebut.
2. Kaum Jabariyah - 12 Puak
Puak-puak Jabariah ini juga terkeluar daripada
Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Antara ittikad dan pegangan puak-puak ini, antaranya:
i. Keimanan, ketaatan dan kekufuran serta
maksiat adalah semata-mata daripada Allah. Manusia tidak mempunyai daya upaya
dan ikhtiar apa-apa kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu semua
hamba Allah (manusia) digugurkan daripada taklif syarak (kewajipan bagi
melaksanakan sesuatu perintah Allah).
ii. Mereka juga mendakwa dan percaya setiap
perbuatan baik yang dilakukan oleh manusia tidak akan mendapat sesuatu
kebajikan dan pahala, begitu juga perbuatan jahat dan maksiat yang dilakukan
oleh manusia, juga tidak mendatangkan apa-apa dosa dan tidak akan mendapat
apa-apa seksaan di Akhirat kelak.
iii. Bertafakkur (bermeditasi) itu adalah lebih
baik daripada segala ibadat sama ada ibadat yang fardu atau sunat.
iv. Sesiapa yang menjadi kekasih Allah dan
bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat serta beliau mempunyai
ilmu yang tinggi, maka pada ketika itu beliau tidak perlu lagi melakukan
apa-apa amal ibadat.
v. Orang-orang kafir dan orang-orang yang
sentiasa melakukan maksiat tidak akan ditanya serta di soal di hari Akhirat
kelak, kerana segala perbuatan mereka itu adalah atas kehendak Allah.
vi. Bahawa Allah tidak akan menyeksa
hamba-hambanya, kerana jika Allah menyeksa hamba-hambanya juga, maka Allah itu
adalah zalim, sedangkan Allah bersifat Maha Adil.
vii. Allah akan menghidupkan orang-orang kafir
dan yang melakukan maksiat di dalam neraka, selepas itu Allah akan mematikan
mereka dan tidak akan dihidupkan lagi buat selama-lamanya.
viii. Apabila Allah telah selesai menjadikan
segala mahkluknya, maka Allah akan beristirahat, maka tiap-tiap perkara itu
akan zahir dan wujud dengan sendirinya apabila tiba waktu dan masa yang telah
ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kena mengena dengan kudrat dan iradat Allah
lagi.
ix. Semua harta di dunia ini adalah kepunyaan
bersama semua manusia dan halal bagi sesiapa mengambilnya (mencurinya) dan
tuannya yang sah tidak berhak mencegah orang lain daripada mengambil harta
benda mereka.
x. Apabila seseorang itu terasa hendak melakukan
sesuatu samada perkara-perkara kebajikan ataupun perkara yang jahat dan
maksiat, maka hendaklah beliau segera melakukan perbuatan tersebut, kerana
ianya merupakan wahyu daripada Allah yang telah dicampakkan ke dalam hatinya
oleh Allah.
xi. Semua kewajipan dan kefardhuan yang
diwajibkan oleh Allah itu boleh dilaksanakan jika seseorang itu rajin dan boleh
juga ditinggalkan jika seseorang itu merasa malas.
xii. Segala perintah Allah itu perlu dilakukan
sekali sahaja dan tidak payah lagi diulang-ulang.
xiii. Untuk menjadi seorang muslim hanya memadai
dengan mengucap dua khalimah syahadat dan tidak perlu melakukan
kewajipan-kewajipan yang lain.
3. Kaum Kharijiyah - 12 Puak
Antara fahaman dan pegangan puak-puak Kharijiyah
yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya:
i. Bahawa yang menjadikan kebaikan itu adalah
Allah dan yang menyebabkan kejahatan itu adalah daripada usaha dan ikhtiar
manusia sendiri. Mereka juga menghukum kafir ke atas orang-orang Islam yang
melakukan dosa-dosa besar.
ii. Bahawa Zakat itu tidak diwajibkan ke atas
umat Islam. Oleh itu mereka boleh menghimpunkan harta sebanyak mana yang mereka
sukai walau dengan apa cara sekalipun. Zakat juga tidak harus diberikan kepada
sesiapa pun kerana kita tidak tahu adakah mereka itu Islam ataupun kafir.
iii. Bahawa Allah akan menghimpunkan semua
dosa-dosa Syirik Jali dan tidak perlu mengucap dua khalimah syahadah untuk
kembali kepada Islam.
iv. Tidak wajib beriman dengan perkara-perkara
yang ghaib seperti malaikat, dosa dan pahala, hari khiamat dan sebagainya.
v. Allah tidak akan menghukum mahkluknya dengan
sesuatu hukuman.
vi. Matahari, bulan, bintang dan cakerawala di
angkasa bukan sebahagian daripada mahkluk Allah.
vii. Semua orang perempuan itu merupakan
perhiasan kepada orang lelaki. Oleh itu boleh melakukan persetubuhan sebelum
berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disukainya.
viii. Saidina Ali k.w.h itu merupakan seorang
kafir dan hanya Saidina Umar dan Abu Bakar sahaja yang Islam.
4. Kaum Qadariyah - 12 Puak
Antara pegangan dan pegangan Ittikad mereka yang
menyeleweng ialah:
i. Segala usaha dan ikhtiar, cita-cita dan
doa-doa manusia akan memberi kesan dengan sendirinya, setelah Allah selesai
menciptakan ikhtiar, usaha, cita-cita dan rangkaian doa kepada manuisa.
ii. Syaitan itu serupa dengan Allah kerana
syaitan juga tidak mempunyai tubuh dan rupa yang nyata (tidak boleh di lihat
dengan mata kasar) seperti Allah.
iii. Yang menjadikan sesuatu kejahatan itu
adalah syaitan semata-mata dan yang menjadikan kebaikan itu hanyalah Allah
semata-mata.
iv. Sesuatu Qada dan Qadar itu bukanlah daripada
Allah, tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri.
v. Beramal dan melakukan ibadat itu merupakan
perbuatan yang sia-sia sahaja, kerana setiap yang baik dan jahat itu telah
ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi.
vi. Syurga, Neraka, Hisab dan Mizan tidak wujud
lagi sekarang kerana belum dijadikan oleh Allah lagi, sehingga apabila telah
tiba hari Khiamat.
vii. Bahawa segala amal ibadat itu, adalah
berpunca dari usaha manusia semata-mata dan tidak diketahui lagi samada akan
beroleh pahala atau dosa, jika mereka meninggalkan atau melakukannya.
viii. Bahawa Allah tidak menciptakan syaitan
kerana jika Allah mencipta syaitan, maka Allah juga telah menciptakan
kekufuran, maka dengan itu menunjukkan bahawa Allah juga suka kepada kekufuran.
ix. Puak-puak ini benci kepada ibadat-ibadat
yang fardu dan suka kepada ibadat-ibadat yang sunat dan sembahyang yang empat rakaat
juga telah mereka jadikan dua rakaat sahaja.
x. Semua kitab Allah yang diturunkan dari langit
tidak di mansukh (batal) dengan turunnya kitab al-Quran, dengan itu wajib
beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut.
5. Kaum Jahmiyah - 12 Puak
Antara kepercayaan dan pegangan akidah golongan
ini ialah:
i. Asma-asma Allah dan sifat-sifat Allah itu
adalah merupakan mahkluk.
ii. Zat Allah itu wujud pada setiap tempat atas
rupa hulu dan ittihad.
iii. Orang Islam yang derhaka apabila dimasukkan
ke dalam neraka, akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.
iv. Apabila segala isi neraka itu menjadi abu,
mereka tidak akan dihidupkan semula.
v. Mayat orang mati tidak merasai azab dan
seksaan atau nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan di dalam kubur sahaja.
vi. Bahawa zat-zat Allah itu berdiri di antara
langit dengan bumi.
vii. Bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat
Allah di dalam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat
Allah di akhirat sahaja.
6. Kaum Murjiyah - 12 Puak
Antara ittikad mereka yang menyeleweng dan sesat
ialah:
i. Selepas seseorang itu telah membicarakan
rukun Iman, maka ia tidak lagi difardukan apa-apa.
ii. Bahawa Allahlah yang menjadikan semua
mahkluknya tetapi Allah tidak pula menyuruh manusia melakukan kejahatan dan
tidak pula melarang manusia daripada meninggalkannya.
iii. Sesiapa yang mengucap LailahaillAllah, maka
ia telah bebas sama ada untuk melakukan ketaatan kepada Allah atau melakukan
kejahatan.
iv. Barang siapa yang mengesakan zat Allah,
sifat-sifat Allah dan segala perbuatan Allah, maka mereka tidak akan dicatatkan
apa-apa dosa besar yang telah mereka lakukan.
v. Bahawa Allah itu adalah terdiri daripada
Jauhar dan ´aradh (sel atau nukleus).
vi. Iman seseorang itu akan berkurang pada tiap-tiap
tahun dan tidak akan bertambah lagi.
vii. Sah sujud kepada matahari, bulan dan
bintang atau mahkluk lain, sama seperti sujud kepada Allah.
viii. Iman itu adalah ilmu, maka sesiapa yang
tidak berilmu, maka ia telah menjadi kafir.
ix. Seseorang manusia boleh menjadi mukmin pada
ketika yang dikehendaki oleh Allah dan manusia juga boleh menjadi kafir jika
dikehendaki oleh Allah dalam sesuatu masa.
x. Allah tidak bersifat dengan segala sifat
Wujudiah.
xi. Boleh dan sah mengikut perintah atau arahan
daripada syaitan atau jin, sama ada jin Islam atau kafir, walaupun perintah
bagi melakukan perkara kejahatan dan maksiat.
Puak-Puak yang Tersesat dalam Bab Sufi
Kumpulan-kumpulan yang tersesat dan menyeleweng
dari ajaran Islam yang sebenarnya dalam bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak
yang besar antaranya:
1. Kaum Marjiyah
Kepercayaan yang menjadi Ittikad dan pegangan
kaum ini ialah apabila mereka beramal dan telah sampai ke tahap mereka telah
menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah sampai ke tahap tiada lagi
benda lain yang mereka kasihi selain daripada Allah, maka pada tahap ini semua
kewajipan syarak dan ibadat ke atas mereka telah digugurkan oleh Allah. Dalam
keadaan ini segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka.
Segala kewajipan yang difardukan seperti solat,
puasa, haji, zakat dan sebagainya boleh dibuat dan boleh juga ditinggalkan
mengikut sesuka hati mereka.
Kumpulan ini, sesetengahnya sangat suka
bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka, semua harta di
dunia ini adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai
cucu-cicit keturunan Nabi Adam. Maka semua harta tersebut adalah halal bagi
mereka mengambil dan menggunakannya walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin
daripada tuannya yang sah terlebih dahulu.
2. Kaum Auliya´iyah
Ittikad dan pegangan puak-puak Auliya´iyah ini
ialah apabila mereka telah sampai ke tahap dan martabat wali, maka terangkatlah
semua kewajipan syarak ke atas mereka. Pada tahap ini, apa yang menjadi
kewajipan ke atas diri mereka sebagai hamba Allah seperti solat, puasa dan
sebagainya tidak perlu lagi ditunaikan, manakala apa-apa yang telah diharamkan
oleh Allah ke atas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina,
mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar
dan mulia daripada martabat Nabi.
3. Kaum Syamrakhiyah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila
sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka
perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula akan berpura-pura warak apabila
berada di khayalak ramai.
4. Kaum Ibahiyah
Ittikad dan pegangan puak-puak Ibahiyah ini
ialah mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan
perkara-perkara mungkar yang dilarang oleh Allah dan mereka juga tidak sanggup
menyuruh manusia lain supaya melakukan kebaikan dan mereka juga menghalalkan
zina kepada ahli kumpulan mereka.
5. Kaum Haliayah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh
melakukan perkara-perkara mungkar asalkan mereka boleh mendekatkan diri kepada
Allah. Contohnya, dalam melakukan zikir, mereka akan menari-nari dan bertepuk
tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan
buruk mereka itu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang perlu diikuti oleh semua
manusia lain.
6. Kaum Huriyah
Ittikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini
adalah lebih kurang dengan pegangan puak-puak Haliyah. Cuma apabila mereka
pengsan itu, mereka berkata: "datanglah kepada kami bidadari, maka kami
setubuhi ia." Apabila sedar daripada pengsan mereka, akan pergi mandi
junub.
7. Kaum Waqi´iyah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat
Allah dan segala sifat-sifat-Nya, Asma-Nya dan segala perbuatan Allah tidak
boleh dikenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada Makrifatullah.
8. Kaum Mutajalihiyah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa
mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih. Mereka juga suka
melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan suka
melakukan zina.
9. Kaum Mutakasiliyah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah mereka
tidak suka berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki daripada
Allah. Mereka juga meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang
ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka.
10. Kaum Ilhamiyah
Ittikad dan pegangan puak-puak ilhamiyah ini
ialah mereka mendakwa bahawa mereka selalu mendapat ilham ketuhanan. Mereka
juga meninggalkan daripada mempelajari serta membaca al-Quran, meninggalkan
zikir dan segala selawat, kerana mereka mendakwa bahawa al-Quran itu menjadi
penghalang untuk mereka sampai kepada Makrifatullah. Dengan itu mereka lebih
suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya.
11. Kaum Hululiyah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat
Allah menjelma dalam diri manusia dan dalam benda-benda lain di alam ini.
Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka memandang kepada
perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta memandang kepada lelaki yang
cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka di situ terdapat Tajalli
(kebenaran yang diperlihatkan Allah) ketuhanan. Mereka juga suka bersuluk
(mengasingkan diri untuk bertafakur), melakukan zikir dengan bercampur antara
lelaki dengan perempuan sambil memeluk dan mencium wajah-wajah yang cantik,
kerana pada wajah tersebut terdapat bekas Tajalli ketuhanan. Jika mereka
mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah anak daripada Tajalli
ketuhanan. Mereka juga boleh melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya
dengan menggunakan niat sahaja.
12. Kaum Wujudiyah
Ittikad dan pegangan puak-puak Wujudiyah ini,
sebenarnya adalah terdiri yang mulhid dan zindik semata-mata (orang yang
imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya kepada agama Allah yang
sebenarnya). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah adalah sama.
Kewujudan Allah itu pula adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu
serta kewujudan Allah boleh di lihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya
membahaskan tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka
semata-mata sahaja.
13. Kaum Mujassimah
Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat
Allah itu adalah berjisim dan berbentuk sebagaimana manusia, iaitu boleh
dirasa, boleh dilihat dan boleh dipegang.
Kesimpulannya, segala pegangan dan akidah serta
ittikad dan fahaman puak-puak yang telah dinyatakan serba ringkas di atas
adalah terang-terangan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya,
walaupun mereka masih mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat
Islam. Sebenarnya, puak-puak inilah yang telah merosakkan kesucian agama Islam.
Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain,
yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran
Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok
guru yang mengembang dan mempertahankan ajaran dan pegangan kumpulan tersebut.
Mereka semua akan di humbankan ke dalam neraka oleh Allah di hari Akhirat
kelak.
Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada
ajaran dan kesucian agama Islam, marilah sama-sama kita menjauhkan diri
daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat tersebut dan mengikuti ahli
dan kumpulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman
yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada
ajaran dan bisikan puak-puak jin dan syaitan yang sentiasa berusaha untuk
menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga
Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak
tersebut.
Antara Perkara-perkara Yang Menyebabkan
Dosa-dosa Besar
1. Syirik jali, kufur , samar dan murtad.
2. Membunuh seseorang tanpa sebab yang sebenar (
tanpa hak ) dengan tiada sumber atau subahat amal.
3. Zina.
4. Liwat.
5. Merperkosa binatang.
6. Meminum minuman yang memabukkan.
7. Mencuri dengan kadar yang membolehkan
dijatuhkan hukuman potong tangan.
8. Menuduh seseorang yang baik berzina.
9. Menjadi saksi dusta.
10. Merampas harta orang lain dengan tiada sebab
yang membenarkanya berbuat demikian.
11. Lari daripada medan peperangan jihad kerana
menegakkan agama Allah, maruah diri, maruah bangsa dan harta (negara).
12. Makan riba.
13. Memakan harta anak-anak yatim walau dengan
apa cara sekalipun dengan tidak sebenar.
14. Mendurhaka kepada kedua orang tua.
15. Mendusta ke atas Rasulullah s.a.w.
16. Menyembunyikan diri daripada menjadi saksi
tanpa apa-apa keuzuran, sedangkan ia patut hadir untuk memberi keterangan.
17. Berbuka puasa dengan sengaja, tanpa apa-apa
keuzuran.
18. Bersumpah dusta.
19. Mendahulukan solat fardu sebelum masuk
waktunya atau melakukan solat fardu selepas luput waktunya dengan sengaja tanpa
apa-apa keuzuran syarie.
20. Memutuskan hubungan kekeluargaan dan
silatulrahim dengan jiran dan kaum kerabat tanpa sebab-sebab yang di benarkan
oleh syarak.
21. Menipu dalam sukatan timbangan barang,
samada mengurang atau melebihkannya.
22. Sengaja meninggalkan solat fardhu tanpa
apa-apa keuzuran syarie.
23. Menjatuhkan maruah seseorang Islam yang lain
tanpa alasan yang di benarkan oleh syarak.
24. Menyumpah dan mengeji sahabat-sahabat
Rasulullah s.a.w.
25. Memberi dan menerima rasuah.
26. Menegah lelaki yang halal daripada masuk
ketempat tidur isterinya atau gundiknya.
27. Bergaul bebas antara lelaki dan perempuan
yang halal nikah dalam suatu majlis yang di tegah oleh syarak.
28. Mengadu kepada pemerintah atau pihak yang
berkuasa supaya mengambil tindakan kepada seseorang tanpa alasan yang
sebenarnya.
29. Enggan mengeluarkan zakat.
30. Melupakan ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang
telah dihafalnya.
31. Membakar haiwan walaupun yang telah mati.
32. Mengamalkan ilmu sihir dan segala bentuk
atau kaedah yang bersangkutan dengan khadam bersyarat serta mengajarkannya
kepada orang lain.
33. Meninggalkan daripada menyuruh manusia
supaya melakukan kebaikan dan tidak mencegah manusia daripada melakukan
kejahatan. Padahal ia berkemampuan melakukan perkara tersebut.
34. Isteri enggan melayani suaminya tanpa alasan
yang munasabah atau isteri menderhaka kepada suaminya tanpa alasan yang
dibenarkan oleh syarak.
35. Putus asa dengan rahmat Allah.
36. Tidak menghiraukan dengan kemurkaan Allah
dengan sentiasa melakukan maksiat dan tidak pernah mengharapkan keampunan
daripada Allah.
37. Zihar, iaitu menyerupakan isterinya dengan
ibunya sendiri dari segi fizikal.
38. Memakan makanan dan minuman yang diharamkan
tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak.
39. Memakan bangkai tanpa ada keuzuran syarak.
40. Namimah, iaitu memperlaga-lagakan kedua-dua
belah pihak supaya bergaduh.
41. Mengumpat ke atas ahli-ahli ilmu yang
beramal dengan ilmunya dan menghafaz. al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.
PENUTUP
Kalimah Tayibah (Syahadataini)
Setiap Muslim wajib memastikan bahawa diri
mereka sentiasa berada dalam ketauhidan dan keimanan kepada Allah dengan
melakukan setiap perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Orang
muslim juga wajib menjaga, mengawal, memelihara kalimah syahadah ini supaya
tidak tercabut daripada dirinya atas nama murtad, atas nama fasik, atas nama
tidak berakhlak dan sebagainya. Kalimah syahadah seseorang itu juga boleh gugur
jika mereka tidak berhati-hati dalam melakukan tindakan dan perbuatan
sehari-harian.
Kewajipan mengucap dua khalimah shahadah selain
daripada dalam solat samada solat fardhu atau solat sunat , merupakan suatu
kewajipan, apabila:
i. Sampai umur taklif syarak bagi lelaki dan
perempuan Islam.
ii. Orang kafir yang ingin memeluk Islam.
iii. Orang murtad yang ingin kembali kepada
agama Islam.
Manakala sunat pula mengucap dua khalimah
syahadah bagi golongan-golongan ini, iaitu:
i. Apabila seseorang itu telah sedar daripada
pitam.
ii. Apabila seseorang itu telah siuman daripada
gila.
iii. Apabila seseorang yang baru sedar daripada
mabuk.
iv. Sebelum seseorang itu melakukan sesuatu
pekerjaan yang baik.
Antara tujuan mengucap dua khalimah syahadah ini
diucapkan adalah untuk memastikan diri seseorang muslim sentiasa kekal dalam
tauhid kepada Allah sama ada Tauhid Asma, Tauhid sifat, dan Tauhid zat. Iaitu
mengeluarkan diri seseorang daripada syirik Uluhiyyah dan Syirik Rububiyyah,
melatih diri supaya sentiasa berpegang, bergantung dan berharap atas keagungan
dan kebesaran Allah di semua tempat, kelakuan dan masa melalui lidah, perbuatan
dan hati dan sejauh mana tahap yakin dan keiklasan diri berada dalam tauhid
kepada Allah. Pada tahap inilah berkat dan kelebihan Allah dizahirkan pada diri
seseorang muslim bersesuaian dengan apa yang telah tersirat dalam surah Ikhlas,
iaitu:
1) Setiap Muslim wajib berittikad bahawa zat
Allah bersifat dengan sifat Wahdaniat, iaitu Allah itu Maha Esa pada perbuatan,
Sifat-Nya dan pada Zat-Nya. Dengan sifat Wahdaniat itu, maka tertolaklah Kam
yang lima dalam bab Usuluddin pada membicarakan Wahdaniat, iaitu:
a) Kam Munfasil pada zat, iaitu zat Allah tidak
terdiri daripada unsur-unsur tulang, daging, darah dan sebagainya, sebagaimana
manusia.
b) Kam Muttasil pada zat, iaitu tiada zat yang
lain yang menyamai zat Allah.
c) Kam Mufassil pada sifat, iaitu Allah bukan
terdiri daripada dua benda yang sejenis dengan-Nya.
d) Kam Muttasil pada sifat, iaitu tiada sifat
lain yang menyamai sifat Allah.
e) Kam Muttasil pada perbuatan, iaitu tiada
perbuatan lain yang menyamai dengan perbuatan Allah.
2) Setiap muslim wajib berittikad bahawa zat
Allah bersifat dengan semua sifat kesempurnaan. Contohnya, zat Allah itu
bersifat Wujud, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama´, Basar, Kalam, Kaunuhu
Qadirun, Kaunuhu, Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu Samian,
Kaunuhu Basiran dan Kaunuhu Mutakaliman.
3) Setiap muslim wajib berittikad bahawa zat
Allah bersifat Qidam dan Baqa.
4) Berittikad bahawa Zat Allah bersifat dengan
sifat Qiyamuhu Binafsihi.
5) Wajib berittikad bahawa zat Allah itu
bersifat Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadist.
6) Harus bagi Allah mengadakan sesuatu atau
mentiadakan sesuatu.
7) Setiap orang muslim wajib berittikad bahawa
Nabi Muhammad s.a.w dan sekalian Nabi serta Rasul yang diutuskan oleh Allah itu
adalah bersifat dengan sifat yang berikut:
i. Siddiq
ii. Tabligh
iii. Amanah
iv. Fathanah.
8) Harus bagi para Rasul itu bersifat dan
berperangai seperti manusia biasa, sekadar tidak mencacatkan pangkat kebesaran
dan kemuliaan diri mereka di sisi Allah.
9) Beriman dengan Allah dan beriman kepada Qada
dan Qadar adalah termasuk dalam Kalimah La ilahaillalah.
10) Beriman dengan Malaikat, beriman dengan,
Rasul, beriman dengan Kitab, beriman dengan Hari Akhirat termasuk dalam kalimah
Muhammadur Rasulullah.
Kesimpulannya, kita sebagai seorang muslim yang
mencintai agama Islam, iaitu agama yang dapat menyelamatkan kehidupan kita,
sama ada di dunia mahupun di akhirat, mestilah memastikan bahawa agama dan
akidah kita tidak akan terpesong daripada akidah Islam yang sebenarnya,
sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.aw, sahabat-sahabat baginda
dan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.