Friday, October 18, 2013

AURAT DAN PURDAH DALAM 4 MAZHAB AHLUL SUNNAH WAL JAMAAH

Mazhab Hanafi. 

Pendapat Mazhab Hanafi, wajah wanita BUKANLAH AURAT, namun memakai purdah hukumnya SUNNAH (dianjurkan) dan MENJADI WAJIB jika dikhuatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.

* Asy Syaranbalali berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها باطنهما وظاهرهما في الأصح ، وهو المختار

“Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar, ini pendapat yang lebih sahih dan merupakan pilihan mazhab kami“ (Matan Nuurul Iidhah)

* Al Imam Muhammad ‘Alaa-uddin berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وقدميها في رواية ، وكذا صوتها، وليس بعورة على الأشبه ، وإنما يؤدي إلى الفتنة ، ولذا تمنع من كشف وجهها بين الرجال للفتنة

“Seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam. Dalam suatu riwayat, juga telapak tangan luar. Demikian juga suaranya. Namun bukan aurat jika di hadapan sesama wanita. Jika cenderung menimbulkan fitnah, dilarang menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki” (Ad Durr Al Muntaqa, 81)

* Al Allamah Al Hashkafi berkata:
والمرأة كالرجل ، لكنها تكشف وجهها لا رأسها ، ولو سَدَلَت شيئًا عليه وَجَافَتهُ جاز ، بل يندب

“Aurat wanita dalam solat itu seperti aurat lelaki. Namun wajah wanita itu dibuka sedangkan kepalanya tidak. Andai seorang wanita memakai sesuatu di wajahnya atau menutupnya, boleh, bahkan dianjurkan” (Ad Durr Al Mukhtar, 2/189)

* Al Allamah Ibnu Abidin berkata:
تُمنَعُ من الكشف لخوف أن يرى الرجال وجهها فتقع الفتنة ، لأنه مع الكشف قد يقع النظر إليها بشهوة

“Terlarang bagi wanita menampakan wajahnya kerana khuatir akan dilihat oleh para lelaki, kemudian timbullah fitnah. Kerana jika wajah dinampakkan, lelaki melihatnya dengan syahwat” (Hasyiah ‘Alad Durr Al Mukhtaar, 3/188-189)

* Al Allamah Ibnu Najiim berkata:

قال مشايخنا : تمنع المرأة الشابة من كشف وجهها بين الرجال في زماننا للفتنة

“Para ulama mazhab kami berkata bahawa dilarang bagi wanita muda untuk menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki di zaman kita ini, kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah” (Al Bahr Ar Raaiq, 284)


Mazhab Maliki. 

Mazhab Maliki berpendapat bahawa wajah wanita BUKANLAH AURAT, namun memakai purdah hukumnya SUNNAH (dianjurkan) dan menjadi WAJIB jika dikhuatiri menimbulkan FITNAH. Bahkan sebahagian ulama yang bermazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.

* Az Zarqaani berkata:

وعورة الحرة مع رجل أجنبي مسلم غير الوجه والكفين من جميع جسدها ، حتى دلاليها وقصَّتها . وأما الوجه والكفان ظاهرهما وباطنهما ، فله رؤيتهما مكشوفين ولو شابة بلا عذر من شهادة أو طب ، إلا لخوف فتنة أو قصد لذة فيحرم ، كنظر لأمرد ، كما للفاكهاني والقلشاني

“Aurat wanita di depan lelaki muslim ajnabi adalah seluruh tubuh selain wajah dan telapak tangan. Bahkan suara wanita juga aurat. Sedangkan wajah, telapak tangan luar dan dalam, boleh dinampakkan dan dilihat oleh kaum lelaki walaupun wanita tersebut masih muda baik sekadar melihat ataupun untuk tujuan perubatan. Kecuali jika dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau tujuan lelaki melihat wanita untuk bersuka-suka, maka hukumnya haram, sebagaimana haramnya melihat amraad. Hal ini juga diungkapkan oleh Al Faakihaani dan Al Qalsyaani” (Syarh Mukhtashar Khalil, 176)

* Ibnul Arabi berkata:

والمرأة كلها عورة ، بدنها ، وصوتها ، فلا يجوز كشف ذلك إلا لضرورة ، أو لحاجة ، كالشهادة عليها ، أو داء يكون ببدنها ، أو سؤالها عما يَعنُّ ويعرض عندها

“Wanita itu seluruhnya adalah aurat. Baik badannya mahupun suaranya. Tidak boleh menampakkan wajahnya kecuali dalam keadaan darurat atau ada keperluan mendesak seperti persaksian atau perubatan pada badannya, atau kita dipertanyakan apakah ia adalah orang yang dimaksud (dalam sebuah persoalan)” (Ahkaamul Qur’an, 3/1579)

* Al Qurthubi berkata:
قال ابن خُويز منداد ــ وهو من كبار علماء المالكية ـ : إن المرأة اذا كانت جميلة وخيف من وجهها وكفيها الفتنة ، فعليها ستر ذلك ؛ وإن كانت عجوزًا أو مقبحة جاز أن تكشف وجهها وكفيها

“Ibnu Juwaiz Mandad – ia adalah ulama besar Maliki – berkata: Jika seorang wanita itu cantik dan khuatir wajahnya dan telapak tangannya menimbulkan fitnah, hendaknya dia menutup wajahnya. Jika dia wanita tua atau wajahnya buruk/hodoh, boleh baginya menampakkan wajahnya” (Tafsir Al Qurthubi, 12/229)

* Al Hathab berkata:
واعلم أنه إن خُشي من المرأة الفتنة يجب عليها ستر الوجه والكفين . قاله القاضي عبد الوهاب ، ونقله عنه الشيخ أحمد زرّوق في شرح الرسالة ، وهو ظاهر التوضيح

“Ketahuilah, jika dikhuatirkan terjadi fitnah, maka wanita wajib menutup wajah dan telapak tangannya. Ini dikatakan oleh Al Qadhi Abdul Wahhab, juga dinukil oleh Syaikh Ahmad Zarruq dalam Syarhur Risaalah. Dan inilah pendapat yang lebih tepat” (Mawahib Jaliil, 499)

* Al Allamah Al Banaani, menjelaskan pendapat Az Zarqani di atas:

وهو الذي لابن مرزوق في اغتنام الفرصة قائلًا : إنه مشهور المذهب ، ونقل الحطاب أيضًا الوجوب عن القاضي عبد الوهاب ، أو لا يجب عليها ذلك ، وإنما على الرجل غض بصره ، وهو مقتضى نقل مَوَّاق عن عياض . وفصَّل الشيخ زروق في شرح الوغليسية بين الجميلة فيجب عليها ، وغيرها فيُستحب

“Pendapat tersebut juga dikatakan oleh Ibnu Marzuuq dalam kitab Ightimamul Furshah, katanya : ‘Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki’. Al Hathab juga menukil dari perkataan Al Qadhi Abdul Wahhab bahawa hukumnya wajib. Sebahagian ulama bermazhab Maliki menyebutkan pendapat bahawa hukumnya tidak wajib, namun lelaki wajib menundukkan pandangannya. Pendapat ini dinukil Mawwaq dari Iyadh. Syeikh Zarruq dalam kitab Syarhul Waghlisiyyah memperincikan, jika cantik maka wajib, jika tidak cantik maka ianya sunnah” (Hasyiyah ‘Ala Syarh Az Zarqaani, 176)

Mazhab Syafi’ie. 

Pendapat mazhab Syafi’ie, AURAT WANITA di depan lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah SELURUH TUBUH. Sehingga mereka MEWAJIBKAN wanita memakai purdah DIHADAPAN LELAKI AJNABI. Inilah pendapat MU'TAMAD mazhab Syafi’ie.

* Asy Syarwani berkata:

إن لها ثلاث عورات : عورة في الصلاة ، وهو ما تقدم ـ أي كل بدنها ما سوى الوجه والكفين . وعورة بالنسبة لنظر الأجانب إليها : جميع بدنها حتى الوجه والكفين على المعتمد وعورة في الخلوة وعند المحارم : كعورة الرجل »اهـ ـ أي ما بين السرة والركبة ـ

“Wanita memiliki tiga jenis aurat, (1) aurat dalam solat -sebagaimana telah dijelaskan- iaitu seluruh badan kecuali wajah dan telapak tangan, (2) aurat terhadap pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh termasuk wajah dan telapak tangan, menurut pendapat yang mu’tamad, (3) aurat ketika berdua bersama yang mahram, sama seperti lelaki, iaitu antara pusar dan paha” (Hasyiah Asy Syarwani ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 2/112)

* Syaikh Sulaiman Al Jamal berkata:

غير وجه وكفين : وهذه عورتها في الصلاة . وأما عورتها عند النساء المسلمات مطلقًا وعند الرجال المحارم ، فما بين السرة والركبة . وأما عند الرجال الأجانب فجميع البدن

“Maksud perkataan An Nawawi ‘aurat wanita adalah selain wajah dan telapak tangan’, ini adalah aurat di dalam solat. Adapun aurat wanita muslimah secara mutlak di hadapan lelaki yang masih mahram adalah antara pusar hingga paha. Sedangkan di hadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan” (Hasyiatul Jamal Ala’ Syarh Al Minhaj, 411)

* Syaikh Muhammad bin Qaasim Al Ghazzi, penulis Fathul Qaarib, berkata:

وجميع بدن المرأة الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وهذه عورتها في الصلاة ، أما خارج الصلاة فعورتها جميع بدنها

“Seluruh badan wanita selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh badan” (Fathul Qaarib, 19)

* Ibnu Qaasim Al Abadi berkata:

فيجب ما ستر من الأنثى ولو رقيقة ما عدا الوجه والكفين . ووجوب سترهما في الحياة ليس لكونهما عورة ، بل لخوف الفتنة غالبًا

“Wajib bagi wanita menutup seluruh tubuh selain wajah telapak tangan, walaupun penutupnya tipis. Dan wajib pula menutup wajah dan telapak tangan, bukan kerana keduanya adalah aurat, namun kerana secara umum keduanya cenderung menimbulkan FITNAH” (Hasyiah Ibnu Qaasim ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 3/115)

* Taqiyuddin Al Hushni, penulis Kifaayatul Akhyaar, berkata:
ويُكره أن يصلي في ثوب فيه صورة وتمثيل ، والمرأة متنقّبة إلا أن تكون في مسجد وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر ، فإن خيف من النظر إليها ما يجر إلى الفساد حرم عليها رفع النقاب

“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang bergambar atau lukisan. Makruh pula wanita memakai niqab (purdah) ketika solat. Kecuali jika di masjid keadaannya susah dijaga dari pandangan lelaki ajnabi. Jika wanita khuatir dipandang oleh lelaki ajnabi sehingga menimbulkan kerosakan, haram hukumnya melepaskan (tidak memakai) niqab (purdah)” (Kifaayatul Akhyaar, 181)

Mazhab Hanbali. 

* Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

كل شيء منها ــ أي من المرأة الحرة ــ عورة حتى الظفر

“SETIAP bahagian tubuh wanita adalah aurat, termasuk pula kukunya” (Dinukil dalam Zaadul Masiir, 6/31)

* Syeikh Abdullah bin Abdil Aziz Al ‘Anqaari, penulis Raudhul Murbi’, berkata:
« وكل الحرة البالغة عورة حتى ذوائبها ، صرح به في الرعاية . اهـ إلا وجهها فليس عورة في الصلاة . وأما خارجها فكلها عورة حتى وجهها بالنسبة إلى الرجل والخنثى وبالنسبة إلى مثلها عورتها ما بين السرة إلى الركبة

“Setiap bahagian tubuh wanita yang baligh adalah aurat, termasuk pula sudut kepalanya. Pendapat ini telah dijelaskan dalam kitab Ar Ri’ayah, kecuali wajah, kerana wajah bukanlah aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, semua bahagian tubuh adalah aurat, termasuk wajahnya jika di hadapan lelaki. Jika di hadapan sesama wanita, auratnya antara pusar hingga paha” (Raudhul Murbi’, 140)

* Ibnu Muflih berkata:

« قال أحمد : ولا تبدي زينتها إلا لمن في الآية ونقل أبو طالب :ظفرها عورة ، فإذا خرجت فلا تبين شيئًا ، ولا خُفَّها ، فإنه يصف القدم ، وأحبُّ إليَّ أن تجعل لكـمّها زرًا عند يدها

“Imam Ahmad berkata: ‘Maksud ayat tersebut adalah, janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang yang disebutkan di dalam ayat‘. Abu Thalib menukil penjelasan dari beliau (Imam Ahmad): ‘Kuku wanita termasuk aurat. Jika mereka keluar, tidak boleh menampakkan apapun bahkan khuf (semacam kaus kaki / sarung kaki), kerana khuf itu masih menampakkan lekuk kaki. Dan aku lebih suka jika mereka membuat semacam kancing tekan di bahagian tangan’” (Al Furu’, 601-602)

* Syeikh Manshur bin Yunus bin Idris Al Bahuti, ketika menjelaskan matan Al Iqna’ , ia berkata:

« وهما » أي : الكفان . « والوجه » من الحرة البالغة « عورة خارجها » أي الصلاة « باعتبار النظر كبقية بدنها »

“’Keduanya, iaitu dua telapak tangan dan wajah adalah aurat di luar solat kerana adanya pandangan, sama seperti anggota badan lainnya” (Kasyful Qanaa’, 309)

* Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata:
القول الراجح في هذه المسألة وجوب ستر الوجه عن الرجال الأجانب

“Pendapat yang kuat dalam masalah ini adalah wajib hukumnya bagi wanita untuk menutup wajah dari pada lelaki ajnabi” (Fatwa Nurun ‘Alad Darb)

73 GOLONGAN (73 pintu 73 jalan)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Umatku akan berpecah hingga menjadi tujuh puluh tiga (73) puak, hanya satu puak yang terselamat, manakala yang lain semuanya binasa.” Sewaktu ditanya: "Siapakah yang terselamat itu?" Baginda menjawab, "Itulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah." Ditanya lagi, "Apakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu?" Baginda bersabda, "Perjalananku hari ini dan para sahabatku.” 

Kita sebagai orang awam tertanya-tanya siapakah 72 puak yang tersesat itu. Adakah kita termasuk di dalam salah satu puak yang tersesat itu? Untuk lebih berwaspada supaya kita tidak termasuk di dalam puak-puak yang tersesat itu, di sini dibentangkan serba ringkas antara puak-puak yang tersesat tersebut, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Daud Al-Fatani dalam kitabnya Manhalush Shafi, antaranya: 

Puak-puak yang Tersesat dalam Bab Syariat 

Puak-puak yang tersesat dalam bab Syariat ini ialah golongan yang menambah-nambah atau mengurangkan sesuatu perkara dalam bab ibadat dan hukum-hakam, tanpa mempunyai sandaran dan asal usul yang jelas dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w ataupun daripada perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang muktabar, sama ada perbuatan itu wajib, haram, sunat, makruh ataupun harus. Kemudian perbuatan dan amalan tersebut diamalkan pada diri, keluarga dan masyarakat. Perkara dan amalan tersebut dikenali dengan istilah syarak sebagai Bidaah Dholalah yang Karohah dan Bidaah Dholalah yang Haram, yang mesti dijauhi oleh setiap orang Islam. 

Puak-Puak yang Teresat dalam Bab Akidah 

Terdapat 72 puak yang tersesat dalam bab Akidah ini, kerana pegangan dan kepercayaan mereka terang-terangan bercanggah dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Antara kumpulan-kumpulan tersebut ialah: 

1. Kaum Rafidhiyah - 12 puak 

Kesesatan puak-puak ini dalam bab Akidah berlaku kerana pegangan dan kepercayaan mereka jelas bercanggah sama sekali dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka masih mengaku bahawa mereka terdiri daripada orang-orang Islam. Antara pegangan mereka ialah: 

i. Mereka beriktikad bahawa Saidina Ali k.w.h akan turun dari langit pada suatu hari nanti dengan rupa awan ketuhanan lalu berupa dengan seorang manusia, maka beliau akan melakukan beberapa pekerjaan yang disejajarkan kepada sifat ketuhanan. Setelah itu beliau akan naik semula ke langit. 
ii. Mereka juga berpegang bahawa Malaikat Jibrail telah tersalah memberi wahyu kepada Nabi Muhammad, sedangkan sebenarnya wahyu tersebut adalah untuk Saidina Ali k.w.h. 
iii. Mereka juga percaya bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Ali k.w.h bekerjasama dalam melakukan pekerjaan kenabian. 
iv. Mereka juga mendakwa bahawa jawatan khalifah itu hanyalah khusus kepada Saidina Ali k.w.h sahaja. Oleh itu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Usman sentiasa berada dalam keadaan kafir kerana menerima dan menjawat jawatan Khalifah Rasulullah s.a.w. Mereka juga mengeji dan menyumpah sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat lain yang tidak seketurunan atau sebangsa dengan Saidina Ali k.w.h. 
v. Mereka percaya bahawa apabila telah keluar roh daripada seseorang anak Adam (mati), maka roh orang yang mati itu akan masuk pula ke dalam jasad orang lain dengan nama dan rupa yang lain atau serupa. 
vi. Mereka juga mendakwa bahawa Saidina Ali k.w.h juga akan kembali hidup semula di akhir zaman sebelum berlakunya hari Kiamat. Beliau akan datang dan menghukum semua musuh-musuhnya, tempat beliau sekarang ialah di awan. Bunyi guruh dan kilat itu adalah suara cemeti Saidina Ali k.w.h. 
vii. Mereka percaya bahawa kadang-kadang zat Allah akan zahir dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu dinamakan zat tersebut sebagai Nabi atau Imam, lalu mengajak manusia kepada agama Islam yang lurus. Jika zat Allah tidak zahir secara demikian sudah tentulah semua manusia akan tersesat. Mereka juga percaya bahawa zat Allah itu boleh menjelma dan masuk ke dalam sesuatu lalu sebati dengan benda tersebut. 

2. Kaum Jabariyah - 12 Puak 

Puak-puak Jabariah ini juga terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Antara ittikad dan pegangan puak-puak ini, antaranya: 

i. Keimanan, ketaatan dan kekufuran serta maksiat adalah semata-mata daripada Allah. Manusia tidak mempunyai daya upaya dan ikhtiar apa-apa kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu semua hamba Allah (manusia) digugurkan daripada taklif syarak (kewajipan bagi melaksanakan sesuatu perintah Allah). 
ii. Mereka juga mendakwa dan percaya setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh manusia tidak akan mendapat sesuatu kebajikan dan pahala, begitu juga perbuatan jahat dan maksiat yang dilakukan oleh manusia, juga tidak mendatangkan apa-apa dosa dan tidak akan mendapat apa-apa seksaan di Akhirat kelak. 
iii. Bertafakkur (bermeditasi) itu adalah lebih baik daripada segala ibadat sama ada ibadat yang fardu atau sunat. 
iv. Sesiapa yang menjadi kekasih Allah dan bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat serta beliau mempunyai ilmu yang tinggi, maka pada ketika itu beliau tidak perlu lagi melakukan apa-apa amal ibadat. 
v. Orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat tidak akan ditanya serta di soal di hari Akhirat kelak, kerana segala perbuatan mereka itu adalah atas kehendak Allah. 
vi. Bahawa Allah tidak akan menyeksa hamba-hambanya, kerana jika Allah menyeksa hamba-hambanya juga, maka Allah itu adalah zalim, sedangkan Allah bersifat Maha Adil. 
vii. Allah akan menghidupkan orang-orang kafir dan yang melakukan maksiat di dalam neraka, selepas itu Allah akan mematikan mereka dan tidak akan dihidupkan lagi buat selama-lamanya. 
viii. Apabila Allah telah selesai menjadikan segala mahkluknya, maka Allah akan beristirahat, maka tiap-tiap perkara itu akan zahir dan wujud dengan sendirinya apabila tiba waktu dan masa yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kena mengena dengan kudrat dan iradat Allah lagi. 
ix. Semua harta di dunia ini adalah kepunyaan bersama semua manusia dan halal bagi sesiapa mengambilnya (mencurinya) dan tuannya yang sah tidak berhak mencegah orang lain daripada mengambil harta benda mereka. 
x. Apabila seseorang itu terasa hendak melakukan sesuatu samada perkara-perkara kebajikan ataupun perkara yang jahat dan maksiat, maka hendaklah beliau segera melakukan perbuatan tersebut, kerana ianya merupakan wahyu daripada Allah yang telah dicampakkan ke dalam hatinya oleh Allah. 
xi. Semua kewajipan dan kefardhuan yang diwajibkan oleh Allah itu boleh dilaksanakan jika seseorang itu rajin dan boleh juga ditinggalkan jika seseorang itu merasa malas. 
xii. Segala perintah Allah itu perlu dilakukan sekali sahaja dan tidak payah lagi diulang-ulang. 
xiii. Untuk menjadi seorang muslim hanya memadai dengan mengucap dua khalimah syahadat dan tidak perlu melakukan kewajipan-kewajipan yang lain. 

3. Kaum Kharijiyah - 12 Puak 

Antara fahaman dan pegangan puak-puak Kharijiyah yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya: 

i. Bahawa yang menjadikan kebaikan itu adalah Allah dan yang menyebabkan kejahatan itu adalah daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri. Mereka juga menghukum kafir ke atas orang-orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar. 
ii. Bahawa Zakat itu tidak diwajibkan ke atas umat Islam. Oleh itu mereka boleh menghimpunkan harta sebanyak mana yang mereka sukai walau dengan apa cara sekalipun. Zakat juga tidak harus diberikan kepada sesiapa pun kerana kita tidak tahu adakah mereka itu Islam ataupun kafir. 
iii. Bahawa Allah akan menghimpunkan semua dosa-dosa Syirik Jali dan tidak perlu mengucap dua khalimah syahadah untuk kembali kepada Islam. 
iv. Tidak wajib beriman dengan perkara-perkara yang ghaib seperti malaikat, dosa dan pahala, hari khiamat dan sebagainya. 
v. Allah tidak akan menghukum mahkluknya dengan sesuatu hukuman. 
vi. Matahari, bulan, bintang dan cakerawala di angkasa bukan sebahagian daripada mahkluk Allah. 
vii. Semua orang perempuan itu merupakan perhiasan kepada orang lelaki. Oleh itu boleh melakukan persetubuhan sebelum berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disukainya. 
viii. Saidina Ali k.w.h itu merupakan seorang kafir dan hanya Saidina Umar dan Abu Bakar sahaja yang Islam. 

4. Kaum Qadariyah - 12 Puak 

Antara pegangan dan pegangan Ittikad mereka yang menyeleweng ialah: 

i. Segala usaha dan ikhtiar, cita-cita dan doa-doa manusia akan memberi kesan dengan sendirinya, setelah Allah selesai menciptakan ikhtiar, usaha, cita-cita dan rangkaian doa kepada manuisa. 
ii. Syaitan itu serupa dengan Allah kerana syaitan juga tidak mempunyai tubuh dan rupa yang nyata (tidak boleh di lihat dengan mata kasar) seperti Allah. 
iii. Yang menjadikan sesuatu kejahatan itu adalah syaitan semata-mata dan yang menjadikan kebaikan itu hanyalah Allah semata-mata. 
iv. Sesuatu Qada dan Qadar itu bukanlah daripada Allah, tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri. 
v. Beramal dan melakukan ibadat itu merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja, kerana setiap yang baik dan jahat itu telah ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi. 
vi. Syurga, Neraka, Hisab dan Mizan tidak wujud lagi sekarang kerana belum dijadikan oleh Allah lagi, sehingga apabila telah tiba hari Khiamat. 
vii. Bahawa segala amal ibadat itu, adalah berpunca dari usaha manusia semata-mata dan tidak diketahui lagi samada akan beroleh pahala atau dosa, jika mereka meninggalkan atau melakukannya. 
viii. Bahawa Allah tidak menciptakan syaitan kerana jika Allah mencipta syaitan, maka Allah juga telah menciptakan kekufuran, maka dengan itu menunjukkan bahawa Allah juga suka kepada kekufuran. 
ix. Puak-puak ini benci kepada ibadat-ibadat yang fardu dan suka kepada ibadat-ibadat yang sunat dan sembahyang yang empat rakaat juga telah mereka jadikan dua rakaat sahaja. 
x. Semua kitab Allah yang diturunkan dari langit tidak di mansukh (batal) dengan turunnya kitab al-Quran, dengan itu wajib beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut. 

5. Kaum Jahmiyah - 12 Puak 

Antara kepercayaan dan pegangan akidah golongan ini ialah: 

i. Asma-asma Allah dan sifat-sifat Allah itu adalah merupakan mahkluk. 
ii. Zat Allah itu wujud pada setiap tempat atas rupa hulu dan ittihad. 
iii. Orang Islam yang derhaka apabila dimasukkan ke dalam neraka, akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. 
iv. Apabila segala isi neraka itu menjadi abu, mereka tidak akan dihidupkan semula. 
v. Mayat orang mati tidak merasai azab dan seksaan atau nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan di dalam kubur sahaja. 
vi. Bahawa zat-zat Allah itu berdiri di antara langit dengan bumi. 
vii. Bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat Allah di dalam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat Allah di akhirat sahaja. 

6. Kaum Murjiyah - 12 Puak 

Antara ittikad mereka yang menyeleweng dan sesat ialah: 

i. Selepas seseorang itu telah membicarakan rukun Iman, maka ia tidak lagi difardukan apa-apa. 
ii. Bahawa Allahlah yang menjadikan semua mahkluknya tetapi Allah tidak pula menyuruh manusia melakukan kejahatan dan tidak pula melarang manusia daripada meninggalkannya.
iii. Sesiapa yang mengucap LailahaillAllah, maka ia telah bebas sama ada untuk melakukan ketaatan kepada Allah atau melakukan kejahatan. 
iv. Barang siapa yang mengesakan zat Allah, sifat-sifat Allah dan segala perbuatan Allah, maka mereka tidak akan dicatatkan apa-apa dosa besar yang telah mereka lakukan. 
v. Bahawa Allah itu adalah terdiri daripada Jauhar dan ´aradh (sel atau nukleus). 
vi. Iman seseorang itu akan berkurang pada tiap-tiap tahun dan tidak akan bertambah lagi. 
vii. Sah sujud kepada matahari, bulan dan bintang atau mahkluk lain, sama seperti sujud kepada Allah. 
viii. Iman itu adalah ilmu, maka sesiapa yang tidak berilmu, maka ia telah menjadi kafir. 
ix. Seseorang manusia boleh menjadi mukmin pada ketika yang dikehendaki oleh Allah dan manusia juga boleh menjadi kafir jika dikehendaki oleh Allah dalam sesuatu masa. 
x. Allah tidak bersifat dengan segala sifat Wujudiah. 
xi. Boleh dan sah mengikut perintah atau arahan daripada syaitan atau jin, sama ada jin Islam atau kafir, walaupun perintah bagi melakukan perkara kejahatan dan maksiat. 

Puak-Puak yang Tersesat dalam Bab Sufi 

Kumpulan-kumpulan yang tersesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya dalam bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak yang besar antaranya: 

1. Kaum Marjiyah 

Kepercayaan yang menjadi Ittikad dan pegangan kaum ini ialah apabila mereka beramal dan telah sampai ke tahap mereka telah menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah sampai ke tahap tiada lagi benda lain yang mereka kasihi selain daripada Allah, maka pada tahap ini semua kewajipan syarak dan ibadat ke atas mereka telah digugurkan oleh Allah. Dalam keadaan ini segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka. 

Segala kewajipan yang difardukan seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya boleh dibuat dan boleh juga ditinggalkan mengikut sesuka hati mereka. 

Kumpulan ini, sesetengahnya sangat suka bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka, semua harta di dunia ini adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai cucu-cicit keturunan Nabi Adam. Maka semua harta tersebut adalah halal bagi mereka mengambil dan menggunakannya walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin daripada tuannya yang sah terlebih dahulu. 

2. Kaum Auliya´iyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak Auliya´iyah ini ialah apabila mereka telah sampai ke tahap dan martabat wali, maka terangkatlah semua kewajipan syarak ke atas mereka. Pada tahap ini, apa yang menjadi kewajipan ke atas diri mereka sebagai hamba Allah seperti solat, puasa dan sebagainya tidak perlu lagi ditunaikan, manakala apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina, mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar dan mulia daripada martabat Nabi. 

3. Kaum Syamrakhiyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula akan berpura-pura warak apabila berada di khayalak ramai. 

4. Kaum Ibahiyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak Ibahiyah ini ialah mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang dilarang oleh Allah dan mereka juga tidak sanggup menyuruh manusia lain supaya melakukan kebaikan dan mereka juga menghalalkan zina kepada ahli kumpulan mereka. 

5. Kaum Haliayah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh melakukan perkara-perkara mungkar asalkan mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya, dalam melakukan zikir, mereka akan menari-nari dan bertepuk tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan buruk mereka itu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang perlu diikuti oleh semua manusia lain. 

6. Kaum Huriyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini adalah lebih kurang dengan pegangan puak-puak Haliyah. Cuma apabila mereka pengsan itu, mereka berkata: "datanglah kepada kami bidadari, maka kami setubuhi ia." Apabila sedar daripada pengsan mereka, akan pergi mandi junub. 

7. Kaum Waqi´iyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah dan segala sifat-sifat-Nya, Asma-Nya dan segala perbuatan Allah tidak boleh dikenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada Makrifatullah. 

8. Kaum Mutajalihiyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih. Mereka juga suka melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan suka melakukan zina. 

9. Kaum Mutakasiliyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah mereka tidak suka berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki daripada Allah. Mereka juga meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka. 

10. Kaum Ilhamiyah

Ittikad dan pegangan puak-puak ilhamiyah ini ialah mereka mendakwa bahawa mereka selalu mendapat ilham ketuhanan. Mereka juga meninggalkan daripada mempelajari serta membaca al-Quran, meninggalkan zikir dan segala selawat, kerana mereka mendakwa bahawa al-Quran itu menjadi penghalang untuk mereka sampai kepada Makrifatullah. Dengan itu mereka lebih suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya.

11. Kaum Hululiyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah menjelma dalam diri manusia dan dalam benda-benda lain di alam ini. Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka memandang kepada perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta memandang kepada lelaki yang cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka di situ terdapat Tajalli (kebenaran yang diperlihatkan Allah) ketuhanan. Mereka juga suka bersuluk (mengasingkan diri untuk bertafakur), melakukan zikir dengan bercampur antara lelaki dengan perempuan sambil memeluk dan mencium wajah-wajah yang cantik, kerana pada wajah tersebut terdapat bekas Tajalli ketuhanan. Jika mereka mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah anak daripada Tajalli ketuhanan. Mereka juga boleh melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya dengan menggunakan niat sahaja. 

12. Kaum Wujudiyah 

Ittikad dan pegangan puak-puak Wujudiyah ini, sebenarnya adalah terdiri yang mulhid dan zindik semata-mata (orang yang imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya kepada agama Allah yang sebenarnya). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah adalah sama. Kewujudan Allah itu pula adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu serta kewujudan Allah boleh di lihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya membahaskan tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka semata-mata sahaja. 

13. Kaum Mujassimah 

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah itu adalah berjisim dan berbentuk sebagaimana manusia, iaitu boleh dirasa, boleh dilihat dan boleh dipegang. 

Kesimpulannya, segala pegangan dan akidah serta ittikad dan fahaman puak-puak yang telah dinyatakan serba ringkas di atas adalah terang-terangan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya, walaupun mereka masih mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat Islam. Sebenarnya, puak-puak inilah yang telah merosakkan kesucian agama Islam. Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain, yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok guru yang mengembang dan mempertahankan ajaran dan pegangan kumpulan tersebut. Mereka semua akan di humbankan ke dalam neraka oleh Allah di hari Akhirat kelak. 

Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat tersebut dan mengikuti ahli dan kumpulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak jin dan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut. 

Antara Perkara-perkara Yang Menyebabkan Dosa-dosa Besar 

1. Syirik jali, kufur , samar dan murtad. 
2. Membunuh seseorang tanpa sebab yang sebenar ( tanpa hak ) dengan tiada sumber atau subahat amal. 
3. Zina. 
4. Liwat. 
5. Merperkosa binatang. 
6. Meminum minuman yang memabukkan. 
7. Mencuri dengan kadar yang membolehkan dijatuhkan hukuman potong tangan. 
8. Menuduh seseorang yang baik berzina. 
9. Menjadi saksi dusta.
10. Merampas harta orang lain dengan tiada sebab yang membenarkanya berbuat demikian. 
11. Lari daripada medan peperangan jihad kerana menegakkan agama Allah, maruah diri, maruah bangsa dan harta (negara). 
12. Makan riba. 
13. Memakan harta anak-anak yatim walau dengan apa cara sekalipun dengan tidak sebenar. 
14. Mendurhaka kepada kedua orang tua. 
15. Mendusta ke atas Rasulullah s.a.w. 
16. Menyembunyikan diri daripada menjadi saksi tanpa apa-apa keuzuran, sedangkan ia patut hadir untuk memberi keterangan. 
17. Berbuka puasa dengan sengaja, tanpa apa-apa keuzuran. 
18. Bersumpah dusta. 
19. Mendahulukan solat fardu sebelum masuk waktunya atau melakukan solat fardu selepas luput waktunya dengan sengaja tanpa apa-apa keuzuran syarie. 
20. Memutuskan hubungan kekeluargaan dan silatulrahim dengan jiran dan kaum kerabat tanpa sebab-sebab yang di benarkan oleh syarak. 
21. Menipu dalam sukatan timbangan barang, samada mengurang atau melebihkannya. 
22. Sengaja meninggalkan solat fardhu tanpa apa-apa keuzuran syarie. 
23. Menjatuhkan maruah seseorang Islam yang lain tanpa alasan yang di benarkan oleh syarak. 
24. Menyumpah dan mengeji sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. 
25. Memberi dan menerima rasuah. 
26. Menegah lelaki yang halal daripada masuk ketempat tidur isterinya atau gundiknya. 
27. Bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang halal nikah dalam suatu majlis yang di tegah oleh syarak. 
28. Mengadu kepada pemerintah atau pihak yang berkuasa supaya mengambil tindakan kepada seseorang tanpa alasan yang sebenarnya. 
29. Enggan mengeluarkan zakat. 
30. Melupakan ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang telah dihafalnya. 
31. Membakar haiwan walaupun yang telah mati. 
32. Mengamalkan ilmu sihir dan segala bentuk atau kaedah yang bersangkutan dengan khadam bersyarat serta mengajarkannya kepada orang lain. 
33. Meninggalkan daripada menyuruh manusia supaya melakukan kebaikan dan tidak mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Padahal ia berkemampuan melakukan perkara tersebut. 
34. Isteri enggan melayani suaminya tanpa alasan yang munasabah atau isteri menderhaka kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak. 
35. Putus asa dengan rahmat Allah. 
36. Tidak menghiraukan dengan kemurkaan Allah dengan sentiasa melakukan maksiat dan tidak pernah mengharapkan keampunan daripada Allah. 
37. Zihar, iaitu menyerupakan isterinya dengan ibunya sendiri dari segi fizikal. 
38. Memakan makanan dan minuman yang diharamkan tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak. 
39. Memakan bangkai tanpa ada keuzuran syarak. 
40. Namimah, iaitu memperlaga-lagakan kedua-dua belah pihak supaya bergaduh. 
41. Mengumpat ke atas ahli-ahli ilmu yang beramal dengan ilmunya dan menghafaz. al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. 

PENUTUP 

Kalimah Tayibah (Syahadataini) 

Setiap Muslim wajib memastikan bahawa diri mereka sentiasa berada dalam ketauhidan dan keimanan kepada Allah dengan melakukan setiap perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Orang muslim juga wajib menjaga, mengawal, memelihara kalimah syahadah ini supaya tidak tercabut daripada dirinya atas nama murtad, atas nama fasik, atas nama tidak berakhlak dan sebagainya. Kalimah syahadah seseorang itu juga boleh gugur jika mereka tidak berhati-hati dalam melakukan tindakan dan perbuatan sehari-harian. 
Kewajipan mengucap dua khalimah shahadah selain daripada dalam solat samada solat fardhu atau solat sunat , merupakan suatu kewajipan, apabila: 
i. Sampai umur taklif syarak bagi lelaki dan perempuan Islam. 
ii. Orang kafir yang ingin memeluk Islam. 
iii. Orang murtad yang ingin kembali kepada agama Islam. 
Manakala sunat pula mengucap dua khalimah syahadah bagi golongan-golongan ini, iaitu: 
i. Apabila seseorang itu telah sedar daripada pitam.
ii. Apabila seseorang itu telah siuman daripada gila. 
iii. Apabila seseorang yang baru sedar daripada mabuk. 
iv. Sebelum seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan yang baik. 
Antara tujuan mengucap dua khalimah syahadah ini diucapkan adalah untuk memastikan diri seseorang muslim sentiasa kekal dalam tauhid kepada Allah sama ada Tauhid Asma, Tauhid sifat, dan Tauhid zat. Iaitu mengeluarkan diri seseorang daripada syirik Uluhiyyah dan Syirik Rububiyyah, melatih diri supaya sentiasa berpegang, bergantung dan berharap atas keagungan dan kebesaran Allah di semua tempat, kelakuan dan masa melalui lidah, perbuatan dan hati dan sejauh mana tahap yakin dan keiklasan diri berada dalam tauhid kepada Allah. Pada tahap inilah berkat dan kelebihan Allah dizahirkan pada diri seseorang muslim bersesuaian dengan apa yang telah tersirat dalam surah Ikhlas, iaitu: 

1) Setiap Muslim wajib berittikad bahawa zat Allah bersifat dengan sifat Wahdaniat, iaitu Allah itu Maha Esa pada perbuatan, Sifat-Nya dan pada Zat-Nya. Dengan sifat Wahdaniat itu, maka tertolaklah Kam yang lima dalam bab Usuluddin pada membicarakan Wahdaniat, iaitu: 
a) Kam Munfasil pada zat, iaitu zat Allah tidak terdiri daripada unsur-unsur tulang, daging, darah dan sebagainya, sebagaimana manusia. 
b) Kam Muttasil pada zat, iaitu tiada zat yang lain yang menyamai zat Allah. 
c) Kam Mufassil pada sifat, iaitu Allah bukan terdiri daripada dua benda yang sejenis dengan-Nya. 
d) Kam Muttasil pada sifat, iaitu tiada sifat lain yang menyamai sifat Allah. 
e) Kam Muttasil pada perbuatan, iaitu tiada perbuatan lain yang menyamai dengan perbuatan Allah. 

2) Setiap muslim wajib berittikad bahawa zat Allah bersifat dengan semua sifat kesempurnaan. Contohnya, zat Allah itu bersifat Wujud, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama´, Basar, Kalam, Kaunuhu Qadirun, Kaunuhu, Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu Samian, Kaunuhu Basiran dan Kaunuhu Mutakaliman. 

3) Setiap muslim wajib berittikad bahawa zat Allah bersifat Qidam dan Baqa. 

4) Berittikad bahawa Zat Allah bersifat dengan sifat Qiyamuhu Binafsihi.

5) Wajib berittikad bahawa zat Allah itu bersifat Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadist. 

6) Harus bagi Allah mengadakan sesuatu atau mentiadakan sesuatu. 

7) Setiap orang muslim wajib berittikad bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan sekalian Nabi serta Rasul yang diutuskan oleh Allah itu adalah bersifat dengan sifat yang berikut: 

i. Siddiq 
ii. Tabligh 
iii. Amanah 
iv. Fathanah. 

8) Harus bagi para Rasul itu bersifat dan berperangai seperti manusia biasa, sekadar tidak mencacatkan pangkat kebesaran dan kemuliaan diri mereka di sisi Allah. 

9) Beriman dengan Allah dan beriman kepada Qada dan Qadar adalah termasuk dalam Kalimah La ilahaillalah. 

10) Beriman dengan Malaikat, beriman dengan, Rasul, beriman dengan Kitab, beriman dengan Hari Akhirat termasuk dalam kalimah Muhammadur Rasulullah. 

Kesimpulannya, kita sebagai seorang muslim yang mencintai agama Islam, iaitu agama yang dapat menyelamatkan kehidupan kita, sama ada di dunia mahupun di akhirat, mestilah memastikan bahawa agama dan akidah kita tidak akan terpesong daripada akidah Islam yang sebenarnya, sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.aw, sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.
SEMUA RAHMAT ALLAH
Powered By Blogger